VISI / MISI UPM

VISI
Menjadi Sebuah Universiti Bereputasi Antarabangsa

 

MISI
Memberi Sumbangan Bermakna kepada Pembentukan Kemakmuran dan Pembangunan Negara serta Kesejahteraan Manusia Sejagat Menerusi Penerokaan dan Penyebaran Ilmu

 

MATLAMAT PENDIDIKAN
Melahirkan Graduan Bitara yang Holistik, Ihsan, Patriotisme dan Berdaya Tahan

 

NILAI TERAS
Ihsan, Kepelbagaian dan Kelestarian

Staf dan pelajar adalah antara tonggak utama yang akan mendukung aspirasi dan matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025. Oleh itu, UPM perlu memastikan bahawa staf dan pelajar menghayati, berusaha dan membentuk iltizam yang tinggi ke arah mencapai Visi dan Misi yang telah ditetapkan. Justeru, Pelan Strategik UPM 2021-2025 didasari oleh tiga nilai teras utama yang perlu menjadi nilai kepunyaan bersama komuniti UPM; iaitu Ihsan, Kepelbagaian dan Kelestarian.

 

IHSAN

Ihsan merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, yang dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap. Ia bertujuan untuk mencapai kesempurnaan, mempunyai kualiti yang tinggi, serta mendukung kecemerlangan dalam setiap amalan. Ihsan akan menjadi nilai teras yang membentuk budaya integriti yang tinggi dalam kalangan warga UPM. Melalui penghayatan dan amalan nilai Ihsan ini, warga UPM dapat menzahirkan nilai-nilai murni sejagat yang menjadi pegangan selama ini, iaitu amanah, adil, benar dan telus, bijaksana, bersyukur dan bersabar, cekap, cepat dan tepat, ikhlas, penyayang, berdisiplin, bersih, bertanggungjawab dan berdedikasi. Sesungguhnya, mencipta kecemerlangan adalah tanggungjawab semua komuniti UPM yang direncanakan dalam bentuk kerjasama kolektif, merentasi pelbagai sempadan perkhidmatan, dan impaknya ialah keunggulan imej dan reputasi universiti.

 

KEPELBAGAIAN

Kepelbagaian didefinisikan sebagai kekayaan sumber dalam UPM yang berupaya merancakkan kecemerlangan. Kepelbagaian disiplin ilmu, tenaga kepakaran, budaya, bakat dan perkhidmatan yang disokong oleh persekitaran kualiti dan integrasi komuniti yang kukuh telah membina kekuatan dan keunikan UPM dalam sektor pengajian tinggi. Sesungguhnya, UPM yakin dan percaya bahawa kepelbagaian akan meningkatkan kualiti hidup, mencambahkan penerokaan ilmu, dan sekali gus dimanfaatkan untuk menjanakan rangkaian strategik yang menghasilkan kekayaan untuk kemakmuran masyarakat dan kemajuan negara.

 

KELESTARIAN

UPM menyedari hakikat bahawa perkhidmatan pengajian tinggi yang telah dan sedang dibangunkan perlu bersifat lestari, relevan dengan keperluan masa hadapan, berupaya memajukan ilmu dan dapat membangunkan modal insan untuk kemajuan negara. Oleh itu, usaha membangunkan urus tadbir yang baik, membudayakan kecemerlangan, memanfaatkan kepelbagaian, melaksanakan pengurusan inovatif dan menghasilkan inisiatif perkhidmatan pendidikan tinggi yang berimpak tinggi dan membudayakan amalan kelestarian hijau untuk pembangunan mampan adalah penting supaya UPM terus berupaya menyumbang kepada pembangunan modal insan bertaraf global.

 

Buku Pelan Strategik UPM 2015-2022